PENGAMATAN TERHADAP KESERUPAAN UNSUR ALAM
PADA MANUSIA
Jelas
bahawa alam memainkan peranan yang sangat penting kerana masyarakat Melayu
zaman dahulu berada dalam proses interaksi, interpretasi dan integrasi dengan
alam di sekeliling. Para pencipta karya
yang menggunakan unsur alam perlu berinteraksi dengan alam, iaitu
berkomunikasi, bercakap dan bertindak balas dengan alam baharulah proses
pentafsiran berlaku. Pentafsiran di sini bermakna setiap objek alam dianggap
membawa makna yang lebih besar. Kemudian,
mereka mengamati atau mengintegrasi alam sebagai keserupaan dengan dirinya atau
masyarakat.
Penggunaan
unsur alam yang melibatkan objek alam fizikal yang boleh dilihat dengan mata
kasar manusia dan dialami secara langsung itu menjadi petanda kepada makna
sebenar. Pengamatan dan penghayatan yang
tersirat dari objek-objek tersebut hanya tercapai setelah melalui proses
pemerhatian, renungan dan penggunaan akal fikiran. Segala kejadian alam adalah bukti kebesaran
pencipta seperti yang dijelaskan oleh ayat yang bermaksud:
Sesungguhnya
pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada
kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat
kepada manusia; dengan demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari
langit lalu Allah hidupkan dengan tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya serta
ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang-binatang, demikian juga
pada peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kuasa Allah terapung-apung di
antara langit dan bumi, sesungguhnya pada semua itu ada tanda-tanda keesaaan
Allah bagi kaum yang menggunakan akal fikiran.
(Al-Baqarah
ayat 164)
Masyarakat
Melayu dahulu gemar merenung alam tetapi
renungan itu sebenarnya berkait rapat atau berbalik semula kepada dirinya
sendiri kerana renungan tersebur sebenarnya memberi makna mendalam terhadap
erti kewujudan dan kehidupan yang sedang dilaluinya. Fenomena ini berlaku kerana mereka mudah
dirangsang oleh suasana alam yang diamatinya sama ada di dalam perjalan atau
ketika beristirehat di rumah. Misalnya,
kisah pembukaan negeri Melaka yang asal usulnya bermula daripada kisah pelanduk
yang menendang anjing perburuan Raja Iskandar ke dalam air. Setelah baginda mengamati peristiwa itu, maka lahirlah negeri Melaka yang terkenal
dengan sejarahnya sehingga kini.
Maka
Raja Iskandar Syah pun berjalan berbalik dari sana ke tepi pantai, pada sutu
sungai di tepi laut; dan nama sungai itu Bertam. Maka Raja Iskandar pun berdiri di bawah
sepohon kayu, terlalulah rendang. Maka baginda pun berburu, maka anjing
perburuan itupun diterangkan oleh pelanduk putih, jatuh ke air. Maka titah Raja Iskandar Syah, “Baik tempat
ini, sedang pelanduknya lagi gagah, baiklah kita berbuat negeri di sini”.
(Sejarah
Melayu edisi Shellabear cetakan ke-30 dalam penulisan Zurinah Hassan).
PENULIS:
SURAYA
BINTI SAPAR
UNIVERSITI
PENDIDIKAN SULTAN IDRIS