Khamis, 25 April 2013

FALSAFAH BERSUMBERKAN ALAM




 PENGAMATAN TERHADAP KESERUPAAN UNSUR ALAM PADA MANUSIA

Jelas bahawa alam memainkan peranan yang sangat penting kerana masyarakat Melayu zaman dahulu berada dalam proses interaksi, interpretasi dan integrasi dengan alam di sekeliling.  Para pencipta karya yang menggunakan unsur alam perlu berinteraksi dengan alam, iaitu berkomunikasi, bercakap dan bertindak balas dengan alam baharulah proses pentafsiran berlaku. Pentafsiran di sini bermakna setiap objek alam dianggap membawa makna yang lebih besar.  Kemudian, mereka mengamati atau mengintegrasi alam sebagai keserupaan dengan dirinya atau masyarakat.

Penggunaan unsur alam yang melibatkan objek alam fizikal yang boleh dilihat dengan mata kasar manusia dan dialami secara langsung itu menjadi petanda kepada makna sebenar.  Pengamatan dan penghayatan yang tersirat dari objek-objek tersebut hanya tercapai setelah melalui proses pemerhatian, renungan dan penggunaan akal fikiran.  Segala kejadian alam adalah bukti kebesaran pencipta seperti yang dijelaskan oleh ayat yang bermaksud:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; dengan demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengan tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya serta ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang-binatang, demikian juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kuasa Allah terapung-apung di antara langit dan bumi, sesungguhnya pada semua itu ada tanda-tanda keesaaan Allah bagi kaum yang menggunakan akal fikiran.
(Al-Baqarah ayat 164)

Masyarakat Melayu dahulu  gemar merenung alam tetapi renungan itu sebenarnya berkait rapat atau berbalik semula kepada dirinya sendiri kerana renungan tersebur sebenarnya memberi makna mendalam terhadap erti kewujudan dan kehidupan yang sedang dilaluinya.  Fenomena ini berlaku kerana mereka mudah dirangsang oleh suasana alam yang diamatinya sama ada di dalam perjalan atau ketika beristirehat di rumah.  Misalnya, kisah pembukaan negeri Melaka yang asal usulnya bermula daripada kisah pelanduk yang menendang anjing perburuan Raja Iskandar ke dalam air.  Setelah baginda mengamati peristiwa itu,  maka lahirlah negeri Melaka yang terkenal dengan sejarahnya sehingga kini.

Maka Raja Iskandar Syah pun berjalan berbalik dari sana ke tepi pantai, pada sutu sungai di tepi laut; dan nama sungai itu Bertam.  Maka Raja Iskandar pun berdiri di bawah sepohon kayu, terlalulah rendang. Maka baginda pun berburu, maka anjing perburuan itupun diterangkan oleh pelanduk putih, jatuh ke air.  Maka titah Raja Iskandar Syah, “Baik tempat ini, sedang pelanduknya lagi gagah, baiklah kita berbuat negeri di sini”.
(Sejarah Melayu edisi Shellabear cetakan ke-30 dalam penulisan Zurinah Hassan).

PENULIS:
SURAYA BINTI SAPAR
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS




Tiada ulasan:

Catat Ulasan